Biologi Koloni Anai-anai

PENGENALAN
  Anai-anai hidup dan bekerja dalam kumpulan-kumpulan, yang sejumlah besar ahlinya bekerjasama, yang dinamakan koloni. Anai-anai juga mempunyai sistem mengagihkan fungsi dan tugas yang tersusun di kalangan koloni; jenis anai-anai yang berbeza yang mengerjakan tugas masing-masing selalunya dikenali sebagai kasta.


BIOLOGI ANAI-ANAI
Masyarakat Anai-anai
   Kasta dalam koloni anai-anai ialah permaisuri-permaisuri, raja-raja, pekerja-pekerja, askar-askar dan alat-alat. Permaisuri dan raja anai-anai membiak untuk menambah semua ahli lain dalam koloni itu. Pekerja mengumpul makanan dan memberi makan kasta-kasta lain dengan memuntahkan makanan. Pekerja juga melakukan semua pembinaan sarang dan terowong. Askar mempertahankan koloni dan boleh menggigit musuh (contohnya semut) atau menyembur musuh dengan cecair yang melekit atau yang mengandungi bahan kimia.

   Alat merupakan jenis yang boleh terbang yang boleh mengawan dan membiak. Alat akan terbang meninggalkan sarang dan membentuk sarang baru yang mana sepasang alat akan menjadi raja dan permaisuri. Pada mulanya alat perlu memberi makan kepada anai-anai muda, tetapi apabila koloni membesar, anai-anai yang belum matang ini akan diberi makan oleh para pekerja. Perut permaisuri akan beransur-ansur menjadi besar agar dia boleh bertelur dengan banyaknya.

Kitaran Hidup Anai-anai dan Pembentukan Koloni

Kelkatu ( jantan dan betina dewasa)
Telur
Nimfa muda
Nimfa lebih tua
Permaisuri Tambahan
Pekerja 
Askar
Raja
Permaisuri
Nimfa Pembiakan

Tabiat Membuat Sarang dan Tabiat Makan Anai-anai

Anai-anai kayu kering membuat sarang dan makan di dalam kayu kering, dan tidak memerlukan hubungan dengan tanah atau sumber lembapan. Semua jenis anai-anai yang lain memerlukan air untuk terus hidup dan ini diperoleh daripada tanah atau kayu lembap. Anai-anai busut mempunyai sarang yang dibuat daripada tanah dan ia membonjol dari tanah. Anai-anai bawah tanah mempunyai sarang di bawah tanah yang tidak boleh dilihat dari atas.

KEPENTINGAN ANAI-ANAI DARI SEGI EKONOMI

 Anai-anai sebagai Serangga yang Berfaedah
Kebanyakan anai-anai bukanlah makhluk perosak dan tidak merosakkan pokok-pokok atau kayu di dalam rumah. Kebanyakan anai-anai tidak makan kayu. Ia makan daun mati, liken, kulit luar pokok yang longgar atau humus (bahan organik yang mereput) di dalam tanah. Banyak juga yang mengkultur fungus atau kulat di dalam sarang masing-masing untuk dimakan. Anai-anai memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan kesuburan tanah. Alat anai-anai merupakan makanan haiwan yang penting. Sesetengah sarang anai-anai menghasilkan cendawan yang dimakan oleh manusia contohnya, di Malaysia.

 Anai-anai sebagai Makhluk Perosak di Malaysia
Apabila anai-anai menjadi makhluk perosak, ia boleh menyebabkan banyak kerosakan kerana ia hidup dalam koloni-koloni besar yang mengandungi banyak ahli. Anai-anai juga boleh menyebabkan kerosakan pada kayu di dalam rumah, tiang-tiang kayu, pagar-pagar, kayu landas kereta api, dan plastik yang digunakan untuk menebat wayar elektrik. Sesetengah spesies boleh merosakkan atau membunuh pokok-pokok tanaman dan pokok-pokok lain. Spesies anai-anai yang paling bersifat memusnah di Malaysia adalah daripada sekumpulan yang dinamakan “Coptotermes.” Sarangnya terletak di bawah tanah.

 Anai-anai merosakkan kayu di rumah-rumah dan bangunan-bangunan lain. Kebanyakan kerosakan pada bangunan adalah disebabkan oleh spesies Coptotermes. Spesies ini biasanya membuat sarang di bawah tanah di luar bangunan dan satu koloni mungkin menyerang lebih daripada satu rumah. Ia juga boleh menyerang bahagian atas bangunan-bangunan berbagai tingkat.

Anai-anai memasuki rumah melalui rekahan-rekahan pada dinding atau lantai atau melalui pembuluh-pembuluh elektrik dan paip-paip air di dalam dinding. Anai-anai boleh bergerak di dalam bangunan melalui celah-celah di belakang jubin dinding, panel, dan rangka pintu dan tingkap. Anai-anai membina laluan atau landasan yang diliputi tanah apabila bergerak di kawasan yang terbuka.
 Benda-benda yang selalunya dirosakkan termasuklah panel dinding kayu, rangka pintu dan tingkap, lantai parket, perabot (biasanya jika perabotperabot ini diletakkan bersandar pada dinding), bahan-bahan bumbung kayu lembut, kotak-kotak dan kadbod dan barangan kertas seperti buku-buku. Kehadiran anai-anai selalunya tidak disedari sehingga banyak kerosakan yang berlaku kerana anai-anai tidak memakan bahagian luaran sesuatu barangan agar ia tidak kelihatan.
 Bahagian dalaman sesuatu barangan yang telah dimakannya akan dipenuhi dengan tanah atau bahan kayu yang separuh cerna (“karton”). Binaan kayu struktur seperti rasuk kayu dan kasau bumbung jarang dimusnahkan oleh anai-anai kerana kayu-kayu ini dirawat dengan bahan awet sebelum digunakan dalam pembinaan bangunan.
Anai-anai kayu kering tidak banyak mendatangkan masalah dan biasanya ia menyerang alang bumbung rumah-rumah yang agak lama ataupun piano lama atau perabot lama. Anai-anai ini mengambil masa yang lama untuk menyebabkan kerosakan yang teruk. Anai-anai kayu kering boleh dikenal pasti menerusi ketiadaan tanah atau bahan karton sebalik wujud gentelan kecil, kering, berwarna coklat pudar yang jatuh dari kayu yang diserang. Kayu itu juga mengeluarkan bunyi lompong apabila diketuk.

 Anai-anai yang menyerang pokok
Coptotermes curvignathus ialah spesies anai-anai yang membunuh pokok. Sesetengah jenis pokok, seperti pokok pine, sering diserang berbanding dengan pokok lain. Biasanya, tanda-tanda serangan oleh anai-anai ini ialah liputan tanah pada permukaan batang pokok, yang di bawahnya terdapat lubang-lubang dalam yang menembusi kulit kayu sehingga ke bahagian dalam pokok.

 PENGECAMAN SPESIES ANAI-ANAI PEROSAK YANG BIASA
Anai-anai kayu kering dikenali dengan tabiat membuat sarangnya. Ia tidak membawa masuk tanah kerana anai-anai ini tidak ada hubungan dengan tanah. Sebaliknya, butiran najis seperti pasir boleh dilihat dibawa keluar dari galeri tempat anai-anai ini tinggal.

Anai-anai bawah tanah dan anai-anai busut membuat sarang di tanah dan memasuki bangunan-bangunan melalui rekahan-rekahan dalam simen dan konkrit. Anai-anai ini membawa lembapan dan tanah ke dalam bangunan.

Coptotermes merupakan anai-anai bawah tanah yang paling biasa menyerang kayu dalam bangunan-bangunan serta pokok-pokok. Anai-anai ini boleh dicam menerusi getah melekit yang berwarna putih yang dirembeskan oleh askar-askar daripada satu bukaan di hadapan kepalanya apabila diganggu.

Pengecaman anai-anai adalah penting untuk dicadangkan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian. Serangan anai-anai kayu kering memerlukan rawatan ke atas kayu. Anai-anai bawah tanah boleh dikawal dengan rawatan tanah. Memusnahkan busut tidak akan mendatangkan kesan sekiranya serangan adalah disebabkan oleh Coptotermes, yang mempunyai sarang di bawah tanah. Selain daripada itu, sistem umpan tidak berkesan dengan sesetengah spesies anai-anai. 

PENGESANAN, PEMERIKSAAN DAN PENGAWASAN ANAI-ANAI 

 -Tanda-tanda serangan anai-anai:
  • Kerosakan yang dilakukan
  • Hasil sampingan aktiviti-aktiviti anai-anai seperti gentelan tanah atau tahi
  • Bunyi lompong apabila kayu yang diserang diketuk dengan satu objek dan
  • Bunyi kosak-kosek di dalam kayu dihasilkan oleh aktiviti-aktiviti anai-anai itu sendiri.
- Anai-anai Kayu Kering:
  • Kerosakan adalah terhad pada satu kawasan kecil
  • Tiada tanah atau karton
  • Gentelan tahi kering seperti debu berbutir ditemui di dalam galeri-galeri dan keluar melalui rekahan dan bukaan di dalam kayu (debu itu tidak bersifat serbuk dan lubang-lubangnya tidak bulat betul sebagaimana tanda-tanda kumbang pengorek – lihat bahagian yang berasingan tentang makhluk perosak ini).
  • Kayu mengeluarkan bunyi lompong apabila diketuk disebabkan oleh ketiadaan tanah untuk melembapkannya.
  • Biasanya berlaku pada barangan perabot lama, parket dan rasuk kayu pada bangunan-bangunan yang sangat lama. Kerosakan berlaku perlahan-lahan dan memakan masa beberapa tahun.
- Anai-anai bawah tanah:
  • Kerosakan adalah lebih cepat dan teruk
  • Wujudnya tanah dan karton. Laluan yang dibina daripada tanah boleh dilihat merentasi kayu atau permukaan dinding, atau menonjol dari dinding, rangka pintu, rangka tingkap, kambi kayu sekeliling lantai, lantai parket dan soket elektrik, paip air atau paip di dinding. Tanah sering disembunyikan di dalam rekahan dan kelihatan cuma sedikit sahaja.
  • Bunyi lompang yang perlahan dikeluarkan oleh kayu yang rosak apabila ia diketuk. Kayu yang rosak hanya diketahui apabila dicucuk atau ditekan, mendedahkan kewujudan karton di bawah lapisan kayu yang nipis. Malah kotak-kotak dan buku-buku mungkin nampak tidak rosak pada permukaan pada hal ia sebenarnya telah habis dimakan dari dalam.
 Mengawas anai-anai:

• Selepas serangan anai-anai telah dirawat dengan jayanya di dalam suatu bangunan, ia mungkin berulang kembali.
• Pengawasan bagi kemunculan anai-anai semula melibatkan proses pemeriksaan yang sama yang digunakan dalam pengesanan awal anai-anai.
• Pengawasan juga boleh dilakukan menggunakan tempat-tempat umpan yang diletakkan di dalam tanah sekeliling bangunan.

 PENGAWALAN ANAI-ANAI DI MALAYSIA

 1) Umpan
Bahan kimia yang digunakan untuk mengumpan biasanya ialah hormon serangga. Apabila diberi anai-anai makan, ia akan mengganggu pertumbuhan biasa dan pembiakan anai-anai. Anai-anai memakan bahan kimia tetapi tidak mati serta-merta dan dengan itu boleh menyebarkan bahan kimia itu kepada ahli-ahli lain dalam koloni semasa anai-anai saling memberi makan kepada yang lain.

Para pekerja juga memberi makan kepada permaisuri maka, sekiranya bahan kimia itu cukup untuk dimakan oleh koloni, bahan itu akan juga membunuh permaisuri tanpa perlu ia makan umpan tersebut. Selepas memusnahkan anai-anai, pengawasan boleh dilakukan menggunakan pancang umpan kayu untuk memberi amaran awal tentang sebarang serangan baru.
Umpan merupakan kaedah kawalan anai-anai yang efisien kerana ia mensasarkan sarang anai-anai.
 Kaedah:
• Tempat-tempat (stesen-stesen) umpan di luar dikorek di dalam tanahsekeliling bangunan.
• Setiap stesen mempunyai pancang kayu yang dipegang oleh pemegang yang ditanam di dalam tanah dan mempunyai bukaan untuk anai-anai masuk.
• Pemegang mempunyai penutup boleh dibuka-buka, yang boleh dibuka untuk pemeriksaan tetap.
• Apabila serangan anai-anai ditemui dalam pancang kayu, pancang tersebut dikeluarkan dan digantikan dengan umpan yang mengandungi bahan kimia.
• Anai-anai yang berada di stesen itu kembali. Ia makan umpan bersama-sama dengan anai-anai baru.
• Lebih banyak umpan yang mengandungi bahan kimia ditambah secara tetap untuk menggantikan yang telah dimakan.
• Umpan tambahan di dalam bekas khas diletakkan di dalam bangunan di mana terdapatnya anai-anai.
• Di Malaysia, selepas kira-kira 4 - 8 minggu, anai-anai hilang dari tapak pengumpanan dan bangunan itu.

2) Sekatan Racun Serangga
Hanya racun serangga yang tertentu digunakan untuk mengawal anai-anai. Racun serangga ini boleh diaplikasikan sebelum pembinaan sesebuah bangunan, pada tapak asas bangunan.
Racun serangga juga boleh diaplikasikan selepas pembinaan dengan menggerudi lubang-lubang di dalam lantai konkrit.
Dalam kedua-dua jenis aplikasi racun serangga, tujuannya ialah untuk mewujudkan sekatan racun serangga yang menghalang anai-anai daripada memasuki bangunan.
Merawat sebelum membina adalah lebih mudah serta memberikan perlindungan yang lebih baik. Merawat selepas membina biasanya dilakukan untuk melindungi bangunan daripada kerosakan lebih teruk yang dilakukan oleh anai-anai selepas menemui anai-anai di dalam bangunan yang telah siap. Lubang-lubang digerudi di tingkat bawah di sepanjang perimeter bangunan, dan racun serangga dipam ke dalam tanah di bawah lantai.

Menyembur racun serangga di dalam rumah bukanlah satu cara yang baik untuk melindungi daripada anai-anai, dan ia boleh membahayakan kesihatan penghuni rumah tersebut.
Tiang-tiang di luar rumah boleh dirawat dengan menyembur sebelum menanam atau membasahkan betul-betul tanah dengan racun serangga di mana tiang-tiang itu ditanam.
Pokok-pokok dirawat dengan membuang tanah dari bawah pokok dan membiarkan racun serangga meresap ke dalam tanah. Pokok-pokok yang lebih besar memerlukan jumlah racun serangga yang lebih banyak. Menyembur batang dan permukaan tanah sahaja bukanlah cara yang berkesan untuk melindungi
pokok-pokok daripada anai-anai.

3) Bahan Awet
Bahan awet ialah bahan kimia yang digunakan untuk merawat kayu supaya kayu-kayu itu tidak lagi sesuai dimakan oleh anai-anai atau serangga lain ataupun kulat sekalipun. Selalunya bahan awet diaplikasikan oleh pembekal kayu.

Di bawah tata bangunan kebangsaan, rawatan bahan awet perlu dilakukan ke atas struktur kayu penyokong bagi bangunan-bangunan atau rumah-rumah.

Bahan awet juga boleh digunakan untuk melindungi kayu di luar rumah yang bersentuhan dengan tanah, misalnya, tiang-tiang kemudahan awam dan kayu landasan kereta api.

4) Bahan Pewasap
Bahan pewasap adalah gas yang digunakan untuk membunuh anai-anai, serangga lain atau tikus. Bahan pewasap digunakan untuk merawat kayu balak untuk dieksport, serangan kecil anai-anai kayu kering di dalam barangan perabot dan seluruh rumah atau bangunan.

Oleh sebab gas ini adalah terlalu toksik, bangunan perlu dikosongkan untuk beberapa hari. Hanya kakitangan yang terlatih dan berlesen boleh menjalankan pewasapan.